Lailatul Qadar ialah satu malam daripada malam-malam bulan ramadhan. Ia merupakan malam yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan.
Allah Ta'ala telah berfirman di dalam surah Al-Qadr yang bermaksud :
" Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam Al-Qadr dan apakah jalan yang menyebabkan engkau mengerti (kebesaran) lailatur qadar itu? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan ALLAH, untuk setiap urusan. Sejahteralah malam ini hingga terbit fajar".
Kebanyakan Ulama islam menegaskan bahawa kemungkinan berlakunya lailatul Qadar adalah pada salah satu daripada malam kesepuluh terakhir sama ada malam ganjil atau malam genap. Yang tetap berlakunya lailatul Qadar adalah di dalam pengetahuan ALLAH jua.
Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari pada bulan Ramadhan, jika kebetulan pada malam lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan @ selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.
Rasulullah s.a.w. sendiri amat bersungguh-sungguh menghidupkan 10 malam terakhir pada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengan beribadah, bertadarus, beristifar dan bermunajat kehadrat ALLAH memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya. Walaupun Rasulullah seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga, namu baginda tetap berjaga malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur kecuali untuk seketika sahaja.
Orang yang tekun beribadah pada malam 10 terakhir pada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan samada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda.
Kerana yang penting adalah sepertimana yang disebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:
- menghayati malam tersebut dengan ibadah
- Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan beribadah
- Amal ibadah itu dikerjakan kerana ALLAH semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.
Selain tanda-tanda tersebut, para ulama' menyebutkan bahawa beberapa tanda-tanda lain bila berlaku malam lailatul qadar. Antaranya ialah :
- Ada yang berkata orang yang menemui malam lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang disegenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
- Ada yang menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain dari malaikat.
- Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud
- Ada yang berkata doa permohonannya makbul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan